KUALA TERENGGANU: Mohd Hasif, satu-satunya anak pasangan Mohd Halim Saiman
dan Nurul Adilah @ Salaiwati Awang, yang terselamat daripada tragedi mengorbankan
lima ahli keluarganya, kelihatan tenang ketika ditemui di rumah neneknya, Teh Jarah
Mahmud, siang tadi. Namun, pada saat akhir menatap wajah ibu bapa dan tiga kakak
kandungnya, Nurul Arifah, 16; Nurul Hidayah Aina, 11 dan Nurul Izzah, 10, sebelum
upacara pengkebumian malam tadi, Mohd Hasif, 8, longlai hingga terpaksa dipapah oleh
ahli keluarganya. Jenazah lima beranak itu selamat disemadikan dalam satu liang di
Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Arang, Batu Enam, di sini, jam 1.20 pagi ini,
selepas disembahyangkan di Masjid Pengkalan Arang jam 9.35 malam tadi. Terdahulu
jenazah tiba di masjid berkenaan dengan van jenazah dari Hospital Hulu Terengganu jam
9.20 malam. Teh Jarah, 72, dari Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, di sini, yang
menghidap darah tinggi pengsan ketika menatap kali terakhir jenazah lima beranak itu di
masjid berkenaan. Keluarga Allahyarham Mohd Halim, 44, dari Kampung Parit Enam,
Muar, Johor iaitu bapanya, Samian Somo, 84 dan ibu, Siti Edah Ali, 75, bersama 13 adik-
beradik arwah tiba di masjid berkenaan jam 10 malam tadi. Suasana pilu menyelubungi
tanah perkuburan berkenaan sepanjang upacara pengkebumian yang dipenuhi lebih 100
ahli keluarga dan rakan Allahyarham.

Post a Comment