KUALA LUMPUR: U Mobile Sdn Bhd menjangka dapat setanding dengan syarikat
telekomunikasi tempatan yang lain dari segi kapasiti rangkaian dan liputan menerusi
pelancaran tambahan 2,000 tapak rangkaian, yang dijadualkan siap pada akhir 2015.
Ketua Pegawai Eksekutif Wong Tuck Heang berkata syarikat memperuntukkan pelaburan
sebanyak RM1.5 bilion bagi tujuan itu yang terdiri daripada 1,000 tapak 3G dan 1,000
tapak 4G bagi evolusi jangka panjang (LTE). U Mobile hari ini memeterai perkongsian tiga
tahun dengan penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi, ZTE
Corporation dan Huawei Technologies, bagi pelancaran tapak baharu berkenaan. "Kami
juga menjangka bahagian pasaran pelanggan kami akan mencatat pertumbuhan ketara,
sebanyak 10 peratus pada akhir 2013. "Daripada peruntukan RM1.5 bilion ini, RM900 juta
hingga RM1 bilion adalah untuk peralatan, manakala bakinya untuk kerja-kerja dan
perkhidmatan tambahan," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian itu di sini hari
ini. Majlis itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek. Wong berkata berikutan U Mobile kini adalah peserta telekomunikasi
paling muda di Malaysia, perkongsian itu membolehkannya melonjak dari segi
perkhidmatan dengan pelaksanaan teknologi terkini di pasaran. Ditanya mengenai
rancangan syarikat itu untuk mengapung saham di Bursa Malaysia, beliau berkata: "Ia pasti
ada dalam perancangan tetapi mengenai masanya, bergantung kepada prestasi kewangan
kami." U Mobile kini mempunyai lebih 4,000 tapak rangkaian untuk menyediakan
perkhidmatan yang berkualiti kepada lebih lima juta pelanggan di seluruh negara, yang
berkembang pesat pada kadar 60 peratus setahun.

Post a Comment